Hari Perhitungan

KEAGUNGAN TUHAN

Mimpiku Rahsia Laduni

Perjalan Mimpih Ibunda White Pigeon

Bertemu Arwah Ibu

Bagikan Post Ini :

Semalam aku bertemu arwah Ibu. Mimpi di akhir bulan Jun 2013, di bulan syaaban yang mulia. Ibuku sudah pergi meninggalkan kami di akhir tahun 2010. Sudah lama aku tidak bertemu arwah, pernah sekali bertemu selepas selang beberapa bulan kematiannya.
Mimpi kali ini ada sebaris dialog antara aku dan arwah Ibu.

Aku bertanya kepada arwah ketika melihat dia mendatangi ku, ‘mak, mak datang dari syurga ye mak?’
Bonda ku hanya tersenyum.
Lalu aku bertanya lagi, mak, ceritalah rahsia tuhan, apa rahsia tuhan mak?’
Aku seolah menunggu saat ini untuk bertanya kepadanya kerna pasti dia punya jawabannya.
Kata ibu, ‘semuanya dihitung Tuhan, semuanya di ambil kira, walaupun yang kita tidak perasan atau yang tidak terfikir.’
‘Apa lagi mak, apa lagi rahsia Tuhan?’, tanya ku.
‘Kena kenal diri yang itu’, kata ibu sambil menunjukkan ke arah diriku.
‘Diri yang mana mak, diri nafsu? diri amalan?, diri yang mana mak?’, tanya ku lagi.
Bonda tidak menjawab pertanyaan ku. Dia berjalan ke kamar untuk menjenguk bapa ku.
Sambil berjalan, dia berkata lagi, ‘yang itu pun di kira’, kata dia sambil menunding ke arah betis/peha kaki ku.
Kata ku, ‘Aurat mak?, aurat ini di kira juga?’ seakan faham maksud aurat tersebut.
Bondaku mengangguk.

Sambil berjalan dia berkata, ‘ingat Tuhan sentiasa, ia di kira dan sentiasa mengira.’
‘Kena zikir 24 jam ye mak?’, tanyaku seolah inginkan kepastian berapa banyak harus aku berzikir. Dia angguk dan berlalu.

Aku membawa Ibu ke kamar bapa yang sedang tidur dan anakku yang kecil pun ada di situ. Kedua mereka sedang tidur. Lalu Dia mengejutkan mereka dengan sergahannya yang selalu di ucap ketika hayat.
‘Amboi, hangpa tidur tak reti-reti nak bangun lagi?’ kata emak menyergahi bapa yang nyenyak tidur. Bapa terjaga lalu matanya terkelip-kelip melihat Ibu, agaknya terasa seperti mimpi mungkin.

Lalu aku berkata, ‘bapak, ni mak, arwah mak ni bapak’.

Bapa terus memeluk mak. Aku melihat wajah bapa yang sudah tua tiada bergigi sedangkan ibu nampak muda dan bersanggul.
Aku lalu menghantar dia pulang. Sambil menunggunya untuk di ambil oleh seseorang, aku melihat dia tersenyum melihat orang tersebut sedangkan aku tidak dapat melihat siapa yang datang mengambilnya pulang. Dia berjalan ke arah orang tersebut beberapa langkah dan kemudian ghaib dari pandangan mata ku.
Aku terkejut jaga sebelum subuh. Lalu solat subuh dan sujud syukur terima kasihku kepada Allah kerna pertemukan ku dengan arwah mak.


Ada kepelikan di sini. Pertama, aku hanya ingin tahu rahsia Tuhan yang ku pasti Ibuku mengetahuinya kerna dia telah melalui alam barzakh.

Kedua, aku dapati kesedaran ku di dalam mimpi sangat tinggi kerana ku menyebut ‘arwah’ ibu kepada bapa, iaitu sedang mengetahui keadaan mak yang sudah meninggal dunia.
Kerana hati ku selalu ingin bicara hal-hal rahsia Tuhan, sehingga mimpi menzahirkan ucapan- ucapan sebegitu.
Jauh di hati, ku tahu Almarhumah Siti Rahela selamat dan bahagia di Alam Syurga.

Subscribe For Latest Posts